Superhero Dalam BIO-NIK

Wednesday, 20 May, 2009 News & Updates

Kini mereka mampu berbangga apabila muncul dengan drama bersiri terbaru sebanyak 26 episod, Bio-Nik yang akan mula disiarkan di TV3 setiap Isnin, jam jam 9 malam menerusi slot Aksi sejak 18 Mei lalu.

Sebagaimana kehebatan superhero Cicakman yang ditampilkan menerusi filem, KRU juga mahu mengetengahkan superhero baru untuk drama sulung mereka kali ini.

Namun, idea KRU tetap berbeza dengan superhero ciptaan sebelumnya apabila drama ini mengisahkan lelaki iaitu Nik yang koma selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya, ‘dihidupkan’ kembali menggunakan mesin sokongan.

Berbeza dengan pesakit lain, Nik menjadi bahan uji bapanya sendiri menerusi satu program komputer yang kemudian memberi kuasa luar biasa padanya seperti mampu berlari laju dan melompat tinggi. Drama ini dijayakan Kamal Adli di samping Intan Ladyana, Fizzo Omar, Shaz Jazle, Tam dan Amanda.

Penerbit Eksekutif drama ini, Norman berkata superhero drama ini tidak dapat lari daripada persamaan superhero lain yang pernah ditonton di TV seperti Six Million Dollar Man, Bionik Woman dan Robocop.

Bagaimanapun, katanya, persoalan yang ingin dikupas untuk superhero kali ini pertembungan antara kecanggihan teknologi dengan hukum agama.

“Penggambaran drama ini dijalankan selama empat bulan dan dikendalikan dua pengarah, Azhari Zain dan Aidil Fitri Mohd Yunus. Bagi menambah tarikan pada superhero, drama ini juga menggunakan teknik imejan komputer (CGI).

“Idea asal drama ini sebenarnya adalah Badang tetapi kisah itu dijadikan novel sebelum ini. Hingga perbincangan dilakukan bersama TV3, kami mendapat idea baru menghasilkan Bio-Nik. Jika diikutkan, karyawan Barat juga mencedok idea orang lain untuk menghasilkan filem mahupun drama mereka.

“Kami sendiri berusaha menjadikan superhero seperti Bio-Nik berkonsepkan tempatan. Drama ini bukan hanya memberi tarikan pada watak utama, tetapi perkembangan sub plot antara watak lain. Tujuan kami menggunakan dua pengarah adalah mahu kerja menyiapkan drama ini menjimatkan masa.