Mei, 2008 - SELEPAS hubungan cinta tidak kesampaian, barulah khalayak menyedari bahawa Adam dan Juliana Sophie Evans pernah melalui detik-detik manis bercinta.
Apatah lagi, lagu berjudul Hai, nyanyian Adam menceritakan tentang detik indah perkenalan mereka.
Tidak tahu apakah punca keretakan hubungan. Masing-masing tunduk membisu daripada memberikan jawapan bernas. Mungkin, tidak mahu mengingati kembali kenangan demi kenangan kala bercinta.
Tidak lagi bergelar pasangan kekasih, baik Adam mahupun Juliana diburu pihak media massa bagi menggandingkan mereka dalam satu fotografi, sekaligus bertanyakan perihal sebenar.
Nah! Eksklusif buat pembaca majalah HAI, Adam dan Juliana pertama kali disatukan sebagai penghias kulit muka depan selepas tiada lagi cinta dalam hati. Kisah cinta mereka sudah tinggal sejarah. Yang kedengaran hanyalah lagu Hai.
Mereka berpisah secara baik dan membawa haluan sendiri. Namun tidak pula mereka menolak apabila diberitahu akan digandingkan untuk sesi fotografi ini.
“Kisah cinta antara saya dengan Ju dah lama berlalu. Kami sekarang tak ada apa-apa hubungan lagi. Setakat kawan biasa ajalah.
“Lagipun, masa bercinta dulu, masing-masing terlalu muda. Waktu itu saya baru keluar dari AF, Ju pula peminat saya.
“Akhirnya cinta kami tak ke mana setelah dua tahun setengah menjalinkan hubungan. Cinta kami bukan dihalang… tapi putus kerana tidak sehaluan.
“Sekarang, kami hanya boleh berkawan. Saya tiada masalah digandingkan dengannya dalam fotografi atau ditawar berlakon bersama.” kata Adam.
Tak mungkin kembali
Kata Adam lagi, sesungguhnya sudah tiada ikatan cinta, namun sebagai rakan artis, dia ada juga bertanyakan khabar bekas kekasihnya itu.
“Kami ada bertanya khabar dan dia beritahu sudah ada pengganti. Untuk kembali bercinta, tak mungkinlah kerana dia sedang bahagia dengan orang lain.
“Saya tak mahu kacau kebahagiaan dia. Saya tak rasa kecewa pun. Mungkin dah ditentukan jodohnya dengan lelaki itu.
“Fasal lagu pula, memang saya ilhamkan khas untuknya. Waktu saya rakam lagu itu, hubungan kami masih baik. Tetapi, apabila album siap, kami dah putus cinta”, cerita Adam lagi.
Celah Juliana, “Saya tahu lagu itu diciptakan untuk saya. Masa dia nak buat lagu itu, dia ada beritahu fasal lagu itu dibuat khas untuk saya. Tapi, saya ingatkan dia saja-saja bergurau.
“Selepas lagu itu siap dirakam, dia beri saya dengar. Terkejut? Tak adalah sangat. Okeylah…” jawab gadis yang berfikiran terbuka ini.
“Suka, terus mengurat”- Adam
Ditanya fasal pengganti, Adam menjelaskan dia masih belum bertemu insan yang sesuai. Usianya sekarang sudah 25 tahun. Mungkin lagi tiga tahun barulah dia merancang untuk berumah tangga.
“Saya tengah mencarilah sekarang. Saya tak ada ciri-ciri wanita idaman. Kalau nampak, timbul rasa berkenan dan suka, saya akan terus mengurat masa itu juga. Saya tak nak bertangguh sebab takut terlepas.
“Macam itulah juga waktu saya kenal Ju dulu. Apa pun saya percaya, ada jodoh, kahwinlah saya nanti,” ujar lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah.
Kontroversi
Adam mengakui kisah kontroversi yang pernah melanda membawa kesan terhadap popularitinya. Contohnya jelas terlihat menerusi jualan album kedua yang kurang mendapat sambutan.
“Sambutan okey juga tapi taklah seperti album pertama. Tak tahulah apa sebabnya tetapi. Mungkin kontroversi itu timbulkan tanda tanya kepada peminat.
“Tapi faham-fahamlah, jualan album sekarang pun memang agak merosot. Kenalah fikir cara yang lain pula.
“Mereka kecewalah bile jadi begitu kerana bukan senang nak hasilkan sesebuah album.
“Rasanya tahun lalu memang nama saya teruk dilanda kontroversi. Namun, bukti kesetiaan peminat terhadap saya ialah kemenangan lagu Joget Lambak sebagai Lagu Paling Popular Hiits 1 menerusi undian SMS mengalahkan nama besar lain.
“Memang ia satu kejutan buat saya. Semangat untuk terus berjuang timbul kembali. Rupanya masih ramai peminat yang menyokong.
“Saya berasa begitu terharu dan sedar mereka masih memberi saya peluang. Saya berjanji takkan hemapakan harapan mereka,” janji Adam.
Berterima kasih pada KRU
Saat berdepan kontroversi, Adam beruntung kerana masih mendapat kepercayaan trio KRU yang banyak memberikan sokongan. Trio adik-beradik ini masih memberikan peluang dalam meneruskan kerjaya seninya.
“Mereka tahu situasi sebenar. Sekarang saya sibuk dengan rakaman album ketiga. Konsepnya macam dulu juga tapi diberi sedikit kelainan, dengan sentuhan futuristik ala robot. Ia satu pembaharuan di negara kita. Belum ada lagi artis yang buat.
“Saya beruntung kerana album dibuat ikut jadual seperti yang tertulis dalam kontrak. Harap-harap album kali ini dapat sambutan. Saya pun dah bertekad takkan terbabit dengan kontroversi lagi,” tutur Adam ikhlas.
Studio tarian
Dia juga mahu berdiri atas kaki sendiri sekarang. kata Adam, dia mahu lupakan terus kisah pahit dengan seseorang yang pernah hangat diperkatakan sebelum ini.
“Saya nak lupakan semua yang pahit termasuklah bisnes yang pernah diusahakan dulu.
“Saya tak nak sentuh atau ingat perkara itu lagi. Sekarang, saya keluarkan modal sendiri buka studio tarian bernama 1st Move Studio berhampiran kawasan Sunway Piramid.
“Ini projek saya menerusi syrikat sendiri, AICA Entertainment. Ada tenaga pengajar yang mengajar tarian.
“Saya turut sewakan studio ini pada mereka yang berminat untuk latihan menari.
“Saya juga rancang terbitkan album artis pertama syarikat ini yang berkonsepkan dance group.
“Empat anggotanya berasal dari Sabah. Saya pilih mereka kerana gaya tarian yang sangat hebat. Saya turut cipta lagu untuk mereka,” tambahnya.
Juliana Terima Lamaran
Tentang Juliana pula, selepas melayari karier sebagai pengacara TV untuk program Remaja di TV3, pemilik wajah pan-Asia ini nekad melebarkan sayapnya ke layar kaca jenama Singa Putih.
Biarpun masih bergelar pengacara muda, namun kredibiliti dan pakej menarik dari segi wajah dan personaliti, membuka mata stesen TV luar negara.
Tarikan istimewa itu diakui apabila si gadis sunti berusia 19 tahun ini menerima lamaran dari stesen TV Singapura, saluran TV Suria untuk mengendalikan sebuah program TV di sana.
“Program yang saya acarakan bersama pengacara Singapura, Suzairi itu lebih kepada ala-ala Explorace.
“Sebanyak 13 episod bakal ditayangkan. Setakat ini, baru tiga episod telah berjaya dirakamkan,” katanya yang baru pulang dari Singapura menyudahkan rakaman penggambaran program TV tersebut.
Impian Jadi Nyata
Setiap insan punya cita-cita dan harapan. Andai percaturan betul, usaha berlipat ganda dan disebelahi nasib, impian yang disasarkan itu pasti tercapai jua.
Bagi Juliana, dilamar stesen TV negara jiran, umpama mimpi dan angan-angan biasa, tapi akhirnya bertukar menjadi kenyataan.
“Saya sangat teruja mengendalikan program itu. Ini adalah kali pertama saya diberi peluang mengacara program TV di sana. Rasa seronok sangat.
“Sebelum ini pun, saya memang suka bercuti ke Singapura. Justeru, tawaran menjadi pengacara di sana seperti orang tidur disorongkan bantal.
“Bukan saja berpeluang mengembangkan bakat di sana, tapi dapat menjelajah dan melihat tempat-tempat pelancongan yang sedia ada.
“Selain Singapura, saya juga bercuti di tempat-tempat menarik dalam negara, juga di Thailand, Jepun dan banyak tempat menarik lain di seluruh dunia,” katanya gembira.
Suka Mencuri?
Sukar untuk dipercayai, Juliana punya ‘topeng’ lain. Namun, itulah hakikat sebenar bahawa model iklan komersial ini miliki watak lain dalam dirinya.
Mengejutkan, gadis kacukan ini dikatakan suka mencuri! Upsss… Gimik saja. Watak itu hanyalah lakonan semata-mata untuk filem dwibahasa, berjudul Hooperz.
“Dalam filem itu, saya diberi peranan sebagai Nino. Dia ini suka mencuri. Mencuri apa? Saya pun tidak tahu lagi.
“Buat masa ini, filem itu belum memulakan penggambaran lagi,” cerita Juliana tentang aktiviti terbaru.
- Majalah HAI -




