
Julai 15, 2008 - Satu kisah menarik terbongkar dari album terbaru Adam AF2 yang berjudul, ADAM3. Di antara 10 buah lagu yang dipersembahkan dalam album tersebut , terdapat tiga buah lagu yang diciptakan Adam sendiri dan ia merupakan inspirasi daripada kehidupan peribadinya yang telah lepas.
Bila para pendengarnya meneliti lebih jelas lagu-lagu tersebut, kesemua judulnya berkait dengan patah hati atau ditinggal cinta, lirik lagu yang dinyanyikan pun cenderung lebih puitis.
Judul ketiga-tiga lagu tersebut ialah Tinggal Kenangan, Putus, dan Terima Kasih. Namun uniknya kesemuanya lagu-lagu itu tidak menjadi lagu pilihan pertama untuk dipasarkan.
Jejaka yang berusia 25 tahun ini mengakui dirinya masih lagi menyendiri, belum ada pendamping baru yang boleh menerimanya menikmati album yang baru dilancarkan 27 Jun lepas.
Ujarnya, “Terkadang kenangan yang kita punya masih boleh memberi manfaat seperti menjadi inspirasi dalam membuat lirik-lirik lagu, tapi biarlah kenangan itu tetap menjadi sebuah kenangan.”
Konsep pop dance yang masih lagi dikekalkan pada labum ini yang memilih lagu Robot untuk menjadi single pertama sekaligus sebagai penarik hati pendengarnya.
Selain itu beberapa lagu lainnya seperti Tukang Gempak, Berbuah Dua Kali, Jika Tak Kerna Kamu, Benar-benar, Dia Ada Stail dan Anganku Melayang, juga tidak kurang menariknya.
Menambahkan keunikan lain pada album terbaru Adam ini ialah terdapatnya lagu dengan alunan orkestra sebagai wujud penghargaan daripada Adam buat para peminatnya dari golongan dewasa.
“Semua peminat bagi saya adalah sama, untuk itu dalam album ketiga ini saya ingin memberi lagu yang boleh diminati dan sesuai kepada mereka yang bukan dari kalangan muda tapi kepada semua yang mahu mendengar lagu-lagu saya,” ujarnya.
Sebagai usaha untuk mempromosikan album terbarunya dia akan membuat konsert muzik di beberapa tempat di Kuala Lumpur.
Adam yang masih lagi bernaung di bawah KRU Production merancang akan membuat satu kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi antarabangsa khususnya yang memiliki konsep yang sama sepertinya iaitu pop dance.
Beberapa nama besar penyanyi antarabangsa yang telah termasuk pada senarai pilihan Adam masih lagi dirahsiakan.
Katanya, “Selain masih dalam satu proses panjang, biarlah menjadi kejutan nanti pada album berikutnya, sekali gus memberi warna baru di setiap kemunculan saya.”
Dalam pada itu, kelainan yang ditonjolkan pada album ADAM3 ini ialah menerusi 1000 keping CD dengan muka depan yang terhad dan direka dengan khusus, sebagai ucapan terima kasih kepada semua pendengar setianya.
Harapan untuk album ini meraih sambutan baik seperti dua album sebelumnya tetap tersemat di hati Adam selepas dia bekerja keras selama enam bulan yang bagi menghasilkan album berkenaan.
- KOSMO -




